Pencemaran Sungai
Monday, 2 June 2008
Pencemaran Sungai
Mood:  blue

SENARAI KANDUNGAN

 

 

BIL

 

TAJUK

 

MUKA SURAT

 

1.

Pengenalan

 

1-2

2.

Senario Pencemaran Sungai Di Malaysia

 

2-4

3.

Punca Pencemaran Air

- Bahan Buangan Domestik

- Sistem Kumbahan Kilang dan Sistem Pembentungan

- Sektor Pertanian

4-11

4.

Kesan Pencemaran Air / Sungai

 

11-13

5.

Pemuliharaan dan Pemeliharaan Sungai

 

14-16

6.

Kesimpulan

 

16-17

 

PENCEMARAN AIR (SUNGAI)

 

1. Pengenalan

    Air meliputi 70% daripada permukaan bumi dan memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan seharian. Semua benda hidup bergantung kepada air untuk kemandirian. Manusia bergantung kepada air untuk pelbagai kegunaan seperti minuman, pembersihan, memasak, bertani, rekreasi dan sebagainya. Hanya 1% daripada air di bumi yang boleh digunakan dan selebihnya (99%) adalah air masin yang tidak boleh digunakan.

        Sumber air kita berasal dari permukaan bumi seperti air sungai dan sumber bawah tanah seperti air perigi. Pembangunan yang pesat telah menyebabkan pencemaran sumber air kita melalui aktiviti perindustrian, pertanian, perlombongan dan pembalakan.

        Pencemaran air didefinisikan sebagai sebarang kemasukan bahan asing ke dalam air yang menyebabkan perubahan fizikal atau kimianya dan seterusnya mengancam kehidupan benda hidup. Pencemaran air membawa kesan buruk kepada alam sekitar dan penggunaanya. Ia menyebabkan keracunan air minuman, ketidakseimbangan biodiversiti dalam ekosistem akuatik dan mengancam kesihatan manusia apabila terdapat biokumulasi toksik dalam tubuh badan dan menjejaskan keseimbangan rantai makanan. Punca utama pencemaran air adalah akibat aktiviti manusia yang terburu-buru dalam melaksanakan pembangunan. Punca pencemaran air boleh diketogorikan dalam dua jenis iaitu punca tetap (point source) dan punca tidak tetap (non point source).

 

1.1.    Punca Tetap (Point Source)

    Pencemaran punca tetap berlaku apabila terdapat bahan pencemar secara langsung, contohnya seperti pembuangan sisa domestik dan perindustrian.

 

1.2.    Punca Tidak Tetap (Non Point Source)

    Pencemaran punca tidak tetap berlaku secara tidak langsung memalui air larian, iaitu bahan pencemar meresap ke dalam lapisan tanah sehingga ke bawah tanah. Ini mencemarkan akuifer bawah tanah dan mengancam kehidupan akuatik. Pencemaran jenis ini susah untuk dikawal, contohnya penggunaan baja dan racun serangga yang berlebihan dalam pertanian.

 

2.         Senario Pencemaran Sungai di Malaysia

    Menurut Haliza (2007), pencemaran sungai merupakan suatu isu yang amat mendesak dan memerlukan usah holistik daripada pelbagai pihak ke arah penyelesaiannya. Kualiti air sungai-sungai di Malaysia semakin terancam dengan pencemaran. Pada umumnya, setiap sungai di negara ini dikategorikan kepada lima kelas iaitu;

· Kelas 1- airnya boleh terus diminum tanpa rawatan

· Kelas 2 - airnya memerlukan rawatan biasa

· Kelas 3 - air nampak bersih, tidak berbau, tetapi kualitinya           

                  tercemar dan orang ramai tidak boleh berenang tetapi 

                  boleh berkelah di tebing

· Kelas 4 - tercemar

· Kelas 5 - hampir mati

    Bagi Kelas 4 dan 5, keadaan air antara lain berbau busuk dan berwarna hitam. Senario semasa di Malaysia menunjukkan, bilangan sungai yang berada dalam kategori Kelas 1 dan Kelas 2 semakin berkurangan tetapi yang dikategorikan dalam Kelas 4 dan Kelas 5 semakin meningkat. Perkembangan ini memang dijangka selaras dengan pembangunan pesat yang dialami oleh negara selain mentaliti masyarakat yang masih rendah dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar. Pada tahun 1976, analisis awal data kualiti air sungai menunjukkan terdapat 42 batang sungai yang teruk tercemar, 16 sederhana tercemar sementara 7 lagi berpotensi untuk tercemar. Antara sungai yang teruk tercemar ialah Sungai Kelang, Sungai Juru, Sungai Skudai dan Sungai Melaka. Pada tahun 1987, data kualiti air untuk 35 sistem sungai utama berdasarkan indeks kualiti air untuk lima parameter iaitu Keperluan Oksigen Biokimia (B.O.D.), Keperluan Oksigen Kimia (C.O.D.), bahan terampai,Nitrogen beramonia dan pH menunjukkan bahawa 4 batang sungai iaitu Sungai Kelang, Sungai Juru, Sungai Sepang dan Sungai Raja Hitam teruk tercemar. Selain itu, analisis juga menunjukkan 25 batang sungai sedikit tercemar serta menghadapi masalah pencemaran.

      Pada tahun 1990 pula, analisis parameter kualiti air menunjukkan bahawa daripada 90 sungai utama yang dikaji, 7 dalam keadaan teruk tercemar, 35 sedikit tercemar dan 48 batang lagi sungai dikelaskan bersih. Sungai yang paling teruk tercemar ialah Sungai Juru, diikuti oleh Sungai Sepang, Sungai Pontian Besar, Sungai Ibai, Sungai Kelang dan akhir sekali Sungai Buloh. Seterusnya, Laporan Kualiti Alam Sekeliling 1997 dan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bilangan sungai yang dikategorikan sebagai ‘bersih' telah berkurangan sebanyak 43 peratus dari tahun 1996 ke 1997. Dalam tempoh yang sama, bilangan sungai yang tercemar pula telah bertambah sebanyak hampir sekali ganda daripada 13 batang pada 1996 kepada 25 batang pada 1997. Jadual 1 menunjukkan kualiti air sungai terpilih di Malaysia pada tahun 1995 dan tahun 1999. Pada tahun 1999, usaha pemantauan terhadap 900 stesen yang melibatkan 120 batang sungai juga jelas menujukkan bilangan sungai yang mula dan sedang mengalami pencemaran kian bertambah di negara ini.

 

JADUAL 1 : Kualiti Air Sungai Terpilih di Malaysia (1995 dan 1999)

KATEGORI

1995

1999

BILANGAN

%

BILANGAN

%

Sangat tercemar

14

12.2

13

10.8

Tercemar (sedikit)

53

46.1

75

62.5

Bersih

48

41.7

32

26.7

Jumlah Sungai yang Dipantau

115

100.0

120

100.0

 

        Rentetan daripada itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah memperuntukkan bajet berjumlah RM250 juta untuk membiayai projek pembersihan dan pengindahan sungai dalam Rancangan Malaysia Ke-8. Sebagai contoh, di Selangor sahaja, daripada 26 sungai utama yang menjadi sumber air kepada penduduk Lembah Klang, hanya lapan sahaja yang dikategorikan bersih manakala tujuh buah sungai dikategorikan mati dan selebihnya dikelaskan sederhana tercemar. Peruntukan ini dijangka meningkat dalam Rancangan Malaysia ke-9 memandangkan lebih dua pertiga sungai-sungai di negara ini dikategorikan sebagai tercemar. Pada tahun 2007 pula, Sebanyak 16 batang sungai di negara ini dikategorikan sebagai tercemar dan ‘hampir mati'. Lokasi kebanyakan sungai tersebut sungai tersebut berada di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Kos bagi memulihkan setiap batang sungai tersebut dianggar memerlukan kos antara RM100 juta hingga RM400juta bergantung kepada panjang sungai tersebut, bentuk pencemarannya dan aspek pemulihan yang hendak dijalankan (Utusan Malaysia, 4 Februari 2007) . Ini bermakna lebih panjang sungai tersebut, lebih mahal kos untuk memulihkannya. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Jabatan Pengairan dan Saliran telah mendapat peruntukan kira- kira RM500 juta untuk melakukan kerja-kerja pemulihan sungai.

        Kesemua angka-angka ini menggambarkan kepada kita betapa kritikalnya isu pencemaran sungai di negara ini dan betapa perlunya tindakan segera dilakukan ke arah menyelamatkan sungai terbabit. Jika perkara ini tidak diberi perhatian yang serius, kita mungkin terpaksa mengeluarkan bajet yang lebih tinggi hingga mencecah berbilion ringgit akibat ketidakprihatinan dan kecuaian kita terhadap penjagaan sungai.

 

3.         Punca Pencemaran Air

        Telah dinyatakan air boleh tercemar melalui dua punca iaitu punca tetap dan puca tidak tetap. Dalam tajuk ini kita akan melihat punca yang terkandung dalam punca tetap dan punca tidak tetap ini secara lebih terperinci. Senario di Malaysia kini memperlihatkan tiga punca utama yang mendorong kepada pencemaran sungai iaitu bahan buangan domestik, sistem kumbahan perindustrian dan sektor pertanian.

 

3.1  Bahan Buangan Domestik

        Sampah sarap merupakan salah satu punca pencemaran air. Munurut kajian, kira-kira 70% masalah pencemaran sungai di Malaysia adalah disebabkan oleh pembuangan sampah dan kumbahan. Pembuangan sampah sarap, sisa buangan domestik dari kawasan perumahan, perkampungan, setinggan dan lain-lain petempatan telah menyebabkan kualiti air sungai terjejas (Utusan Malaysia, 27 April 2006).

   Ramai di kalangan kita mengamalkan sikap tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah-sarap ke dalam sungai secara langsung. Terdapat juga golongan yang membuang kumbahan dari tandas terus ke dalam sungai. Tindakan ini mencemarkan sumber air kerana terdapat bakteria-bakteria dalam sisa kumbahan yang menurunkan oksigen terlarut (DO) dan seterusnya menurunkan kualiti air.

    Menurut Noorazuan (2007), Penyelidikan terhadap pengaruh tepubina bandar menjadi agenda utama di dalam penyelidikan hidrologi lembangan saliran, sama ada di negara maju mahupun di negara membangun. Malahan  tepubina bandar ini telah menjadi salah satu petunjuk kesihatan ekosistem sungai oleh pihak pengurusan lembaga saliran sungai terutmanya di Amarika Syarikat dan negara-negara maju yang lain.

        Kawasan tepubina bandar merupakan permukaan bandar yang menghalang kemasukan air ke dalam tanih melalui penyusupan dan penelusan bagi mengecas kembali storan air bawah tanah (Ferguson, 1998). Ia boleh terbentuk daripada permukaan seperti jalanraya berturap, bumbung bangunan, kawasan letak kereta berturap dan juga kawasan permainan yang menggunakan padang sintetik. Dari aspek persekitaran, permukaan tidak telap bandar boleh mempengaruhi kuantiti dan kualiti air misalnya jumlah air larian permukaan dan bahan pencemar akan semakin meningkat, berkadaran dengan peratusan permukaan tersebut (Rajah 1) 

       

Rajah 1: Perbezaan Konseptual Perubahan Hidrologi di Antara Permukaan   

               Semulajadi dan Tepubina Bandar

 

      Ia dijadikan ukuran kesihatan ekosistem sesebuah sungai kerana apabila tahap sesebuan bandar itu menjadi tepu atau dengan kata mudah jumlah penduduk meningkat sudah pastilah tahap pembuangan sisa domestik juga akan bertambah kerana air larian yang terhasil dari tepubina bandar ini pasti membawa bersama-sama sisa dan bahan buangan domestik.

        Kajian yang telah dijalankan oleh Noorazuan dan Asmala (2007) di Sungai langat bermula dari tahun  1981 sehingga 1996 menunjukkan hampir kesemua paremeter air yang diukur di stesen kawalan mengandungi ammonikal nitrogen yang melebihi tahap piawaian kualiti air kelas 3. Penelitian yang dilakukan di sub-lembangan Langat  telah membuktikan kesan peningkatan kawasan tepubina terhadap kualiti air sungai. Peningkatan kawasan bandar dan tepubina yang menjadi petunjuk kepada pertambahan aktiviti pembangunan fizikal bermula pada tahun 1988 telah dilihat menyumbang kepada peningkatan pepejal terampai (SS) dalam air sungai. Pertambahan penduduk akibat roses perbandaran dapat dikaitkan dengan pertambahan bahan buangan domestik serta umbahan yang mengakibatkan parameter seperti COD, BOD dan Ammonikal-Nitrogen encatatkan tahap pencemaran yang serius.

        Sungai Pinang di Pulau Pinang juga boleh dijadikan contoh sebagai sungai yang tercemar akibat sisa buangan domestik. Sungai Pinang di Georgetown Pulau Pinang, suatu ketika dahulu, sungai ini membentuk sistem pengangkutan air utama tetapi kini menjadi ‘sungai mati' setelah kualiti air yang diakui teruk pada 1980-an, kini menjadi semakin teruk disebabkan segala bahan buangan dicampakkan ke situ sebelum mengalir ke laut. Laporan Kualiti Alam Sekitar 2004, menyebut Sungai Pinang terus kekal sebagai sungai paling kotor dan tercemar sepanjang tahun di Malaysia walaupun sudah sekian banyak program pemulihan sungai itu dilakukan sehinggakan airnya langsung tidak sesuai untuk tujuan minuman.

    Walaupun kerja-kerja pembersihan Sungai Pinang sepanjang 3.6 kilometer sedang giat dijalankan sehingga hampir mencecah kos RM500 juta, namun sehingga kini masih banyak lagi sampah yang terapung di permukaan sungai, selain kualiti air yang begitu teruk tercemar. Justeru, walaupun kerja-kerja seperti mengorek lapisan endapan dan perangkap sampah dilakukan, masih terdapat sampah sarap yang terus dibuang ke sungai tersebut.

 

3.2  Sistem Kumbahan Kilang dan Sistem Pembentungan.

        Sisa kumbahan dari kilang  yang tidak dirawat dengan berkesan boleh menyebabkab pencemaran air. Pembangunan pesat negara dan proses urbanisasi telah membawa kepada perubahan pengunaan tanah bagi sesuatu kawasan bagi menampung keperluan kegiatan ekonomi, kemudahan-kemudahan sosial dan lain-lain infrastruktur yang berkaitan. Perubahan gunatanah ini telah mendedahkan sungai kepada pelbagai tekanan yang kadangkala tidak dapat ditanggung oleh sungai, yang secara langsung menyebabkan perubahan sistem sungai bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga kuantiti. Dalam hal ini kita boleh menjadikan Sungai Juru di Pulau Pinang sebagai contoh kerana sungai ini juga telah teruk tercemar. 

        Sungai Juru telah digolongkan oleh Jabatan Alam Sekitar sebagai sungai tercemar di Malaysia. Bernama melaporkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menyenaraikan ia sebagai sungai paling kotor di Asia Tenggara. Menurut laporan tersebut, airnya begitu beracun sehingga tidak selamat diminum meskipun sudah dididihkan. Indeks Kualiti Air sungai ini kekal di tahap kelas 5 yang menunjukkan ia terlalu tercemar dan tiada ikan dapat hidup dalam sungai sedemikian. Oleh kerana kebanyakan kawasan di Lembah Sungai Juru bertukar menjadi kawasan bandar, sungai ini sekarang menghadapi risiko menjadi pembentung air buangan terbuka.

        Berdasarkan maklumat dikumpulkan dan siasatan tapak, salah satu sebab yang menjadi punca kepada pencemaran Sungai Juru adalah pembuangan sisa-sisa industri di kawasan perindustrian berdekatan di samping faktor-faktor lain seperti sisa-sisa buangan dari pasar basah, sisa-sisa buangan rumah tangga dan air kumbahan dan buangan dari kawasan perumahan atau kediaman.

        Apabila memperkatakan tentang perindustrian yang menjadi salah satu penyumbang kepada pencemaran air khasnya sungai, perindustrian yang berasaskan pertanian sebenarnya menjadi penyumbang paling tinggi kepada pencemaran air. Kajian menunjukkan bahawa tidak kurang dari 1 juta kilogram buangan sisa di masukkan ke sungai setiap hari akibat daripada kumbahan, industri kelapa sawit dan industri getah (Maheswaran 1982).

    Sistem pembentungan juga boleh menyumbang kepada kemasukan sisa kumbahan kilang terus masuk ke dalam sungai. Tidak dapat dinafikan ada kilang yang menyalur terus sisa buangan ke dalam sungai dan ada pula yang menyediakan sistem kumbahan sendiri tetapi masih tidak berkesan disebabkan penyelenggaraan sistem yang kurang efisen sehingga air yang dirawat dan dilepaskan ke sungai masih mengandungi bahan kimia yang berbahaya.  Jadi apa kaitannya sistem pembentungan dengan sisa saliran kumbahan kilang perindustrian?. Perkaitannya mudah iaitu di Malaysia sistem pembentungan dan saliran termasuk saliran dari kilang tidak berada di bawah satu aliran atau dengan kata lain kedua-dua sistem ini telah diasingkan. Menurut Dr. Zaini dalam Melati (2007), di negara-negara yang menerima hujan melebihi 1000 mm termasuk Malaysia dan Singapura, sistem pembentungan dan saliran bandar diasingkan untuk mengatasi masalah banjir kilat. Pengasingan ini, jelasnya, membolehkan air hujan disalirkan dengan lebih cepat ke sungai atau diresapkan ke perut bumi untuk mengelakkan banjir. Bagi menjimatkan kos, sistem saliran tersebut dibuat secara terbuka. Inilah yang menyebabkan pelbagai jenis sampah-sarap dan air buangan termasuk dari kilang disalurkan dengan mudah ke sistem saliran sehingga menyebabkan masalah sumbatan dan pencemaran.
Menurut beliau lagi, perlu difahami juga bahawa saliran terbuka tersebut tidak mempunyai keupayaan untuk mengasingkan sampah atau merawat bahan-bahan cemar yang dilepaskan dan keadaan tersebut menjadi lebih kritikal jika sistem saliran itu menerima kumbahan (daripada kawasan perumahan dan perniagaan), separa kumbahan, sisa industri separa terawat dan sebagainya.

    Ini, katanya, adalah yang berlaku di kebanyakan kawasan perbandaran lama di mana tadahan pembetungan terhad kepada kawasan perumahan baru. Berdasarkan pengalaman, lebih 50 peratus daripada beban pencemaran sungai di bandar-bandar besar di Malaysia berpunca daripada sistem saliran yang mengandungi kumbahan dan sisa industri yang tidak dirawat sebaiknya kerana sepatutnya sisa-sisa ini disalurkan dahulu ke dalam pembentung yang dikendalikan oleh IWK tetapi perkara ini tidak berlaku disebabkan pengasingan sistem ini tadi.

 

3.3  Sektor Pertanian

    Pertanian juga menjadi salah satu penyumbang kepada pencemaran air khususnya sungai. Terdapat dua bidang utama yang diungkap menjadi dua sebab utama pencemaran sungai iaitu bidang pertanian tanaman  dan penternakan. Tanaman khasnya sayur-sayuran  pada skala sederhana dan besar yang menggunakan baja kimia menjadi penyebab kepada pencemaran dan  seperti yang telah diterangkan pencemaran jenis ini sukar dikawal kerana ia adalah pencemara dari punca tidak tetap. Baja dan pestisid banyak digunakan dalam pertanian. Pestisid atau bahan kimia yang disembur ke atas tanaman mengandungi bahan kimia yang akan meresep ke dalam tanah bersama-sama air hujan dan seterusnya menyebabkan pencemaran air bawah tanah malahan sekiranya pertanian itu berada hampir dengan sungai, maka sudah tentulah pestisid ini akan dibawa masuk ke sungai oleh air larian permukaan. Selalunya sungai yang menerima pestisid ini diketegorikan pada tahap kelas 3 kerana walaupun kelihatan jernih dan bersih pada pandangan mata kasar tetapi selepas ujian sampel dilakukan pasti terdapat kandungan bahan kimia yang tinggi dan berbahaya untuk dijadikan air minuman.

        Pada hari ini tidak banyak isu-isu berkaitan pencemaran yang menggunakan baja kimia ini didedahkan kerana sukar untuk mengukur tahap pencemaran ini menggunakan mata kasar melainkan diadakan ujian barulah dapat diperolehi jawapannya. Malahan penggunaan baja kimia ini pula sudah dikawal penggunaannya oleh kementerian Pertanian dan Asas Tani yang membolehkan hanya baja yang disyorkan dan mendapat kelulusan sahaja dibenar untuk digunakan bertujuan mengurangkan peratus pencemaran air.

    Pertanian tidaklah menampakkan sangat sebagai punca  pencemaran pada masa kini tetapi bidang penternakan lebih menonjol kerana lebih cepat dan mudah dikesan membawa kepada pencemaran sungai. Dalam kes penternakan ini, penternakan babi yang kecoh diperkatakan sekarang boleh dijadikan kayu ukuran untuk menilai sama ada ia dijalankan secara mapan atau tidak sehingga mencemarkan sungai. Penternakan babi di negara ini dilaksanakan sejak 1970-an atau lebih awal, kebanyakannya di luar bandar. Ketika itu, ladang babi adalah perusahaan keluarga skala kecil-kecilan. Penternakan ini biasanya bergiat secara haram dan tiada peruntukan untuk membina sistem pengurusan sisa yang teratur, terutama sistem olahan efluen kumbahan najis.

        Sungai tersumbat dengan sisa ternakan babi kerana penternak membuang semuanya ke dalam sungai. Penternak berasa dengan kaedah tradisional ini, mereka boleh mengurangkan kos dan seterusnya memperoleh keuntungan tinggi. Sebenarnya ini mendedahkan pekerja ladang babi kepada penyakit. Kita boleh lihat apa yang berlaku di Melaka apabila alam sekitar terjejas, malah kesihatan awam terkena tempiasnya. Senario yang kita nampak ialah merebaknya penyakit disebabkan pengurusan yang amat lemah dan keadaan ladang babi itu sendiri ( Berita Harian, 13 April 2008). Pada hari ini masih banyak menggunakan kaedah tradisional  yang sememangnya tidak dilengkapi prasarana pengurusan sisa yang sesuai, terutama membabitkan sisa buangan atau efluen kumbahan najis. Ini menyebabkan pencemaran yang teruk.

    Melaka merupakan antara negeri yang mengalami krisis penternakan babi yang berlebihan sehingga mencemarkan sungai dan muara sungai yang mengalir ke laut. Sebelum jumlah babi dikurangkan kepada 48,000 ekor,  terdapat 160,000 ekor babi diternak di Melaka menggunakan kaedah penternakan tradisional, jadi bayangkan betapa tingginya kadar pencemaran yang dilepaskan melalui sistem kumbahan tradisional penternakan babi ini. Penternakan ini boleh menyumbang kepada pencemaran biologi seperti najis binatang yang boleh menyebabkan kemunculan bakteria seperti Ezcherichia coli atau E Coli, cacing nematod dan mikrob lain dan sekiranya air ini digunakan untuk kegunaan seharian ia boleh memudaratnya penggunanya. Jadi jelas di sini pertanian juga menjadi penyebab kepada pencemaran air khasnya sungai.

 

4.    Kesan Pencemaran Air / Sungai

    Pencemaran air khasnya sungai membawa kesan buruk kepada alam sekitar dan penggunanya. Ia menyebabkan keracunan air minuman, ketidakseimbangan biodiversiti dalam ekosistem akuatik dan mengancam kesihatan manusia apabila terdapat bioakumulasi toksik dalam tubuh badan dan menjejaskan keseimbangan rantai makanan.

    Namum begitu ditinjau dari aspek yang lebih terperinci, pencemaran ini boleh menyumbang kepada krisis bekalan air negara. Seperti yang diketahui, sumber air mentah di negara kita kebanyakannya diperoleh terus dari sungai utama dan empangan yang dibina untuk menyimpan air.  Namun, kualiti air sungai di malaysia adalah dalam keadaan yang semakin merosot akibat daripada pencemaran alam sekitar. Berdasarkan statistik, buat masa kini sebanyak 29 buah sungai di negara ini didapati mengalami pencemaran teruk manakala 11 buah lagi tercemar sederhana manakala 80 buah lagi masih dalam keadaan terkawal.Antara negeri yang mengalami pencemaran sungai paling tinggi adalah Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

        Selain dari bakal mengalami krisis air, pencemaran sungai juga telah mengurangkan mata pencarian nelayan di kuala sungai. Manakan tidak, contohnya di Sungai Juru terdapat beberapa laporan terhadap kejadian lampau di mana ikan-ikan mati kelihatan terapung-apung di Kuala Sungai Juru. Nelayan-nelayan menyalahkan pencemaran perindustrian atas kematian ikan-ikan. Mereka menyatakan bahawa kilang-kilang dari kawasan perindustrian yang berdekatan melepaskan sisa-sisa toksik ke dalam sungai.

        Mata pencarian komuniti nelayan yang mana kira-kira 100 orang daripada mereka tinggal di muara Sungai Juru telah terjejas. Maklumat dan maklum balas yang diperolehi  daripada nelayan Kuala Sungai Juru telah mendedahkan bahawa hasil ikan-ikan dan kerang-kerangan telah merosot secara mendadak. Sebanyak 60% kerang-kerangan yang dipungut dari kawasan pantai di Kuala Sungai Juru sudah mati disebabkan pencemaran air berbanding dengan hanya 5% kerang-kerangan mati ketika keadaan baik pada masa yang lalu. Oleh kerana hasil kerang-kerangan merosot, kehidupan nelayan-nelayan menjadi lebih perit dan terpaksa menggandakan usaha hanya bagi mendapatkan nafkah yang sama sahaja seperti dulu untuk menyara hidup.

        Ketidakseimbangan biodiversiti dan ekosistem juga berlaku kesan dari pencemaran air ini. pencemaran sungai telah menurunkan jumlah habitat sungai. Kebanyakan spesisi ikan pasti mati dan seterusnya akan pupus malahan sehingga tiadan ikan yang boleh hidup apabila sungai mencapai kelas 5 seperti Sungai Pinang. Kekurangan dan kepupusan telah mewujudkan ketidakseimbangan dalam biodiversiti sesebuah sistem sungai. Ekosistem kawasan yang mengalami pencemaran juga turut menerima impaknya.

        Kesan paling mudah dilihat ialah gangguan kepada ekosistem paya bakau yang berada di muara sungai. Pengurangan paya bakau di tebing sungai telah mengancam habitat-habitat semulajadi dan ekosistem sungai. Pokok-pokok bakau yang lazimnya tumbuh di sepanjang tebing sungai bertindak sebagai perangkap dan menstabilkan mendapan, melindungi pinggir pantai daripada hakisan dan sebagai tempat burung-burung bersarang. Akibat pencemaran banyak pokok bakau mati dan ini telah mengganggu sistem rantaian makanan. Sudah pastilah haiwan yang menghuni di dalam habitat ini akan berpindah ke tempat lain dan terjadilah ketidakseimbangan ekosistem dikawasan terbabit.

        Kesihatan manusia juga boleh terancam jika menggunakan air yang tercemar. Walaupun pada masa sekarang kita menggunakan air yang telah terawat namun pasti ada golongan yang menggunakan air sungai untuk kegunaan seharian. Tahap kesihatan pasti terganggu sekiranya mereka menggunakan air yang tercemar dengan sisa biologi seperti dari kawasan penternakan. Contohnya, bacteria E-coli, cacing netamod, dan mikrob yang terhasil akibat pembuangan najis binatang ke dalam sungai akan membawa penyakit berbahaya seperti hepatisis, taun, disentri, demam kepialu dan kusta.

        Sungai yang kotor dan tercemar juga secara tidak langsung memberi gambaran buruk kepada pelancong. Sektor pelancongan pasti menerima tempias perkara ini. Sungai Klang yang membelah Kuala Lumpur dan Sungai Pinang menjadi satu mercu tanda yang memalukan kerana memberi gambaran buruk kepada pelancong asing terhadap mentaliti rakyat negara ini berkaitan soal kebersihan. Tidak mustahil suatu hari nanti jumlah kedatangan pelancong asing akan turun dengan mendadak sekiranya lebih banyak sungai yang menjadi tempat rekreasi dan riadah tercemar. Pelancong asing gemar datang ke negara ini untuk pelancongan yang berbentuk rekreasi dan melihat sendiri keindahan bumi hijau Malaysia, tetapi sekiranya isu pencemaran  tidak dapat ditangani dengan berkesan sudah pasti buah mulut yang tidak enak akan dibawa pulang bersama ke negara mereka sebagai pakej tambahan yang tidak langsung menguntungkan negara ini.

 

5.    Pemuliharaan dan Pemeliharaan Sungai

    Isu pengurusan sungai menjadi sangat penting sejak kebelakangan ini akibat meruncingnya masalah pencemaran sungai. Pengurusan sungai merupakan usaha memelihara dan memulihara sungai supaya kualitinya tidak terus merosot. Dalam kata lain, pengurusan sungai menyediakan cara bagaimana mengawal dan memandu hubungan manusia dengan komponen alam sekitar ini agar kualiti sungai tersebut dan kepentingan organisma hidup khususnya manusia sentiasa terpelihara. Objektif utama pengurusan sungai ialah untuk memelihara sungai sedia ada untuk kegunaan semasa dan masa hadapan, meminimumkan impak terhadap sungai kesan daripada pelbagai aktiviti pembangunan selain meningkatkan kualiti sungai dan hidupan keseluruhannya.

    Agensi yang dianggap bertanggung jawab dalam hal ehwal pengurusan sungai ialah Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar. Pengurusan sungai menumpukan kepada pelbagai aspek pemeliharaan dan pemuliharaan sungai yang melibatkan kaedah perundangan dan kaedah bukan perundangan. Kaedah perundangan melibatkan penggunaan polisi dan perundangan dalam pengurusan sungai antaranya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Efluan-Efluan Perindustrian) 1979 telah diperkenalkan untuk menangani masalah ini (Haliza, 2007).

    Kaedah bukan perundangan pula antara lain membabitkan penglibatan orang ramai dalam projek pemeliharaan sungai, penglibatan Oganisasi Bukan Kerajaan dan media massa dalam menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai peri pentingnya penjagaan sungai serta peranan institusi pendidikan melalui pendidikan secara formal mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

    Selain itu Sistem pelupusan sampah sarap dan sistem sanitasi yang sempurna diperlukan supaya sisa dapat diuruskan dengan lebih teratur. Pelbagai teknologi  juga telah diperkenalkan untuk merawat sisa kumbahan agar lebih berkesan contohnya teknologi membran atau selaput digunakan untuk menapis zarah-zarah pepejal dalam sisa kumbahan. Dalam sektor pertanian pula khasnya tanaman perlulah dikurangkan penggunaan bahan beracun dan menggalakkan penggunaan baja organik yang lebih mesra alam.

    Kempen Cintailah Sungai 1993 diwujudkan bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang betapa pentingnya sungai dalam kehidupan setiap individu bagi menimbulkan keinginan untuk memulihara dan mencintai sungai, memperkenalkan kepada orang awam langkah dan amalan yang boleh menyumbang ke arah pengekalan keindahan semulajadi dan perlindungan sungai, dam mempertingkatkan pengetahuan dan teknik pengurusan sungai dan kawasan tadahannya di kalangan agensi yang terlibat bagi menjamin pembangunan yang harmonis dan berkekalan. Namun begitu kempen ini dianggap gagal mencapat tujuan terbabit kerana data telah menunjukkan jumlah pencemaran sungai yang semakin meningkat sehinggakan perangkap sampah yang dipasang oleh pihak berkuasa tempatan tidak mampu menampung sisa buangan terapung yang disalurkan ke sungai. 

    Pemuliharaan sungai bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan dengan cepat, menurut Dr. Zaini, Jika dirancang dengan baik, mungkin kurang dari lima tahun tetapi ini memerlukan keazaman kuat dari semua pihak. Usaha ini bukan sahaja terletak di atas bahu elit politik dan pembuat dasar tetapi juga pelaksana, tenaga profesional, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

    Kes kajian  Lembangan Sankey di St Helens, United Kingdom sangat menarik untuk dibincangkan dalam konteks pemuliharaan ini kerana membawa kepada perubahan kesihatan ekosistem lembangan saliran. Bandaraya St Helens merupakan bandaraya terbesar di dalam Lembangan Sankey. Oleh kerana ianya adalah bandar perindustrian sejak revolusi industri, ia telah meninggalkan kesan negatif terhadap persekitaran fizikal lembangan, khususnya terhadap kualiti dan kuantiti air sungai. Pembandaran selepas pasca-perindustrian di Lembangan Sankey boleh dibahagikan kepada dua fasa; fasa pertama rebakan bandar atau ‘urban sprawl' (1974-1988) dan fasa kedua fasa rejuvenasi bandar atau ‘urban renewal' (1988-1997) di mana kawasan bandar hantu yang ditinggalkan sepi akibat kejatuhan industri gelas dan pembuatan kaca di England telah dibangunkan secara pendekatan pembangunan mapan (Ling, 2000; Ravenhead Renaissance, 2004). Pada fasa rejuvenasi bandar, program wasteland to greenland telah diperkenalkan oleh pihak berkuasa tempatan. Dalam fasa berkenaan, kawasan tepubina dan bekas perlombongan telah dimajukan secara mapan. Akibatnya, peratusan kawasan bandar telah berkurangan dan diganti dengan kawasan hijau yang sekaligus mengembalikan kualiti air di Lembangan terbabit.

 

Kesimpulan

        Sungai merupakan sumber air yang penting kepada manusia. Permintaan air yang kian meningkat dan kemusnahan kualiti air sungai yang semakin serius merupakan dua isu utama pada masa ini. Secara umum, sistem semulajadi mampu membersih air sungai yang tercemar, namun, kadar pencemaran yang kian meningkat akibat aktiviti manusia telah membuatkan proses pembersihan semula jadi ini tidak lagi mampu untuk membersihkan air. Justeru, isu pencemaran alam sekitar umumnya dan pencemaran sungai khususnya mesti diberi perhatian yang serius dan dikawal ke tahap yang paling minimum. Ini kerana air adalah sumber hidup dan sekiranya sumber ini dicemari sehingga ke tahap yang tidak dapat lagi digunakan oleh manusia; ini secara tidak langsung telah mengurangkan sumber kehidupan manusia sendiri.

        Hari demi hari jika keadaan pencemaran sungai ini bertambah buruk, maka manusia secara sedar atau tidak telah meracuni diri mereka sendiri. Punca pencemaran dan kerosakan sungai boleh disimpulkan kepada faktor budaya campak buang yang berkait rapat dengan sikap masyarakat umum sama ada pengilang, penternak dan penduduk setempat yang tidak menghargai sungai sebagai sumber.

    Penyerahan tanggungjawab penjagaan sungai kepada kerajaan juga menerangkan betapa rendahnya tahap penglibatan masyarakat dalam usaha pemeliharaan sungai. Sikap dan paradigama masyarakat harus diubah terlebih dahulu, dengan ini barulah segala langkah saintifik dan pengurusan kawalan terhadap pencemaran sungai memberi makna dan berjaya dilaksanakan kerana sebahagian besar masyarakat telah memahami dan berupaya menilai kualiti sungai.

    Selain itu, walaupun terdapat pelbagai peruntukan bagi mengawal pencemaran sungai tetapi perlaksanaannya kurang berkesan kerana undang-undang ini berdasarkan sektoral, mempunyai skop yang terhad dan tidak holistik. Oleh itu, undang-undang yang lebih berkesan perlu diperkenalkan diikuti oleh penguatkuasaan yang ketat oleh agensi yang terlibat bagi mengekang masalah pencemaran sungai yang dijangka semakin meruncing pada masa hadapan. Undang-undang yang digubal juga mestilah mengambilkira kepentingan ekonomi kerana sebahagian besar daripada masalah pencemaran sungai adalah akibat daripada aktiviti perindustrian, pembangunan infrastruktur dan projek lain yang ada kaitan dengan perkembangan ekonomi.

 

Situasi Pencemaran Air/Sungai

    Untuk melihat situasi pencemaran sungai bolehlah melayari laman web www.sungaijuru.com/bm/pollution.php sebagai contoh pencemaran yang berlaku di Sungai Juru, Pulau Pinang.

 

Bibliografi

Ferguson, B. (1998). Introduction to stormwater. Concept, purpose and design. New York: John Wiley and Sons, Inc.

Ling, C. (2000). Rebuilding the post-industrial landscape: interaction between landscape and biodiversity on derelict land. Paper presented at the International Conference on "Multifunctional Landscapes", Roskilde, October 18-21, 2000

Maheswaran, A. (1982). Water Pollution in Malaysia : Problems, Perpective and Control. Dlm Consumer Association of Penang (CAP). Development and Environmental Crisis. Pulau Pinang : CAP.

Haliza Abdul Rahman, (2007). Suatu Tinjauan Terhadap Isu Pencemaran Sungai di Malaysia. Atas Talian: haliza@kb.usm.my (Tarikh: 27 Mei 2008)

Melati Mohd Ariff, (2007). Kemelut Air: Krisis Parah 'Bagai Rentak Menanti Belah'. Atas Talian: www.bernama.com.my (Tarikh: 27 Mei 2008).

Mling, (2006). Sumber Air Mentah, Krisis Masa Hadapan Negara. Atas Talian: geo.ya.com/sfslbzzl/tribbi/pencemaran-sungai-di-malaysia.html (Tarikh: 27 Mei 2008)

Noorazuan Md Hashim dan Asmala Hj. Ahmad, (2007). Tepubina Bandar: Isu dan Kaitannya Dengan kesihatan Ekosistem Lembangan Saliran. Atas Talian: www.eoc.ukm.my/geografia/Artikel/Artikel-2007/Vol4_Issue1.pdf (Tarikh: 27 Mei 2008)

_____ (2007). Pencemaran sungai Juru; Bahan-bahan Cemaran dan Kesan-kesannya. Atas Talian: www.sungaijuru.com/bm/pollution.php

Berita Harian, 13 April 2008

Masa Depan Sumber Air Negara Perlu Jelas, Utusan Malaysia, 27th April 2006

Utusan Malaysia, 4 Februari 2007

 

 

 



        

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Posted by abdullah042008 at 3:29 AM EDT
Updated: Monday, 2 June 2008 11:29 PM EDT

Newer | Latest | Older

« February 2019 »
S M T W T F S
1 2
3 4 5 6 7 8 9
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28
You are not logged in. Log in
Entries by Topic
All topics  «